Menu Button

Syed Shamim ukur kemampuan

— Post on 25 May 2015 and 3 comment | 16,482 Views
syed shamim

Nama penyanyi kelahiran YouTube, Syed Shamim dan pasangan duetnya, Tasha Manshahar mula menjadi sebutan di laman sosial selepas video Be Mine dan ‘cover’ Mr Saxobeat dimuat naik di YouTube sekitar awal 2012. Malah, bakat besar mereka turut menarik perhatian syarikat rakaman FMC Music untuk bernaung di bawah pengurusan mereka serta melancarkan dua single berjudul Be Mine dan Cuba Teka pada 2013.

Selepas menempa nama secara duet, Syed Shamim atau pemilik nama sebenar Syed Shamim Syed Abdul Kadir tampil dengan single solonya pula berjudul Cinta Terbaik sekali gus untuk mengukur kemampuannya sebagai penyanyi rakaman.

Tampil Dengan Kelainan Lagu Genre Balada

“Mungkin sebelum ini, saya nampak begitu selesa menyanyikan lagu santai genre moden pop bersama Ta­sha. Namun, kali ini, saya ingin menampilkan kelainan de­ngan menyampaikan lagu genre balada khusus untuk peminat dan pengikut setia di luar sana. Single Cinta Terbaik adalah ciptaan komposer Aiman dan Zul 2 by 2 serta liriknya oleh Tanty dan Isma AF7. Ia juga lagu solo keduanya selepas single pertama, Lalala”.

“Siapa yang tidak kenal dengan Aiman yang juga antara komposer terbaik tempatan. Pastinya kekuatan Cinta Terbaik adalah pada melodi itu sendiri. Pertama kali mendengar lagu Cinta Terbaik, saya terus tertarik untuk memilih melodi lagu ini walaupun hanya mendengar demo melodi tanpa lirik. Melodi yang cukup kuat membuatkan saya begitu yakin lagu ini boleh diterima pendengar. Namun, ia juga cabaran baru yang harus dilaksanakan dengan baik. Sebagai penyanyi, saya sudah memberikan komitmen seratus peratus sekali gus berusaha memberikan yang terbaik pada lagu ini,” katanya.

Bercerita lanjut pengalaman ketika proses rakaman, kata Syed Shamim, Aiman dan komposer terbabit ba­nyak membantu dan tidak lokek ilmu untuk mengajar teknik bagaimana menjiwai lagu balada itu dengan sempurna.

“Alhamdulillah, proses rakaman juga berjalan lancar dan mengambil tempoh selama empat jam. Ia dikendalikan oleh penggubah Zimi Sofarz dan dibantu Akim dan Zul sendiri. Saya juga membuat ‘home­work’ sendiri sebagai persiapan ketika rakaman. Banyak yang saya belajar sepanjang proses menyiapkan lagu ini di studio. Antaranya teknik nyanyian, penghayatan dan penjiwaan dalam lirik serta lagu,” katanya.

Bagaimanapun, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik (pengkhususan vokal) ini mengakui dia yakin dengan kebolehan sedia ada untuk menyampaikan sebarang genre lagu yang diberikan kepadanya.

“Cuma ia perlukan latihan dan penelitian khusus agar lagu yang dibawakan memuaskan hati semua pende­ngar khususnya pencipta lagu itu sendiri,” katanya. Setakat ini, penerimaan peminat sangat baik pada single baru ini. Saya juga sangat teruja dengan kemunculan kelab peminat baru iaitu Cinta Terbaik Fans (CTF) yang mengumpulkan peminat lagu Cinta Terbaik dalam satu komuniti,” katanya.

Lagu duet baru

Bukan saja berbakat besar, pasangan duet Syed Shamim dan Tasha Manshahar juga pernah dicalonkan dalam Top 5, kategori Duo Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014. Selepas kejayaan album sulung duet mereka pada tahun lalu, pastinya ramai yang menantikan bingkisan lagu duet terbaru mereka sekali gus mengubat kerinduan peminat di luar sana.

“Memang pihak FMC ada perancangan untuk menghasilkan lagu duet terbaru kami pada tahun ini. Apatah lagi, kelahiran album sulung kami iaitu ‘Our Song’ yang juga karya kami sepenuhnya turut mendapat sambutan peminat. Namun, buat masa ini, perancangan syarikat adalah untuk mengeluarkan projek lagu solo dan rangka promosi lagu masing-masing terlebih dulu,” katanya.

Ditanya soal persaingan pula, kata Syed Shamim, dia juga tidak gentar bersaing dalam bidang seni tempatan.

“Saya percaya setiap penyanyi mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi saya, tidak kira sama ada seseorang artis itu lahir daripada YouTube ataupun rancangan realiti TV, sekiranya mereka dikurniakan bakat dan disertai minat serta kerja keras, pasti mereka boleh bersaing secara sihat dalam bidang seni. Pada masa sama, saya juga akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan sedia ada untuk menjadi pe­nyanyi yang berjaya,” katanya.

Selain bercita-cita memiliki studio sendiri pada masa depan, Syed Shamim juga mengimpikan untuk menjadi seorang penyanyi dan komposer yang berjaya seperti Ajai suatu hari nanti.

“Buat masa ini, fokus harus diberikan kepada pengajian yang akan tamat dalam tempoh dua tahun lagi. Pada masa sama, karier nyanyian saya juga semakin berkembang baik. Saya juga bertuah kerana mengambil jurusan pengajian yang sama dengan bidang muzik diceburi. Jadi apa yang dipelajari di kolej boleh dipraktikkan dalam karier nyanyian. InsyaAllah, selain menyanyi, saya juga bakal bergelar pendidik bila tamat pengajian kelak,” katanya.

SUMBER: HarianMetro Online

3 Respond for "Syed Shamim ukur kemampuan"

  1. Hai,saya Zakira/ ira.:D
    Saya haraf syed shamim al idrus bin syed abdul kadir yg berusia 22 tahun (2015) akan dpt mengembangkan lagi minat beliau dlm bidang nyanyian mahupun bidang perguruan.
    Bye, assalamualikum.:*

Say Something For This News